Cara Nabi Muhammad S.A.W Berniaga
1. Keuntungan Adalah Sasaran Ke-2
Seseorang peniaga muslim itu,
sewajarnya tidak menjadikan keuntungan sebagai sasaran utama perniagaan
beliau. Sebaliknya, beliau perlu menjadikan keredhaan Allah SWT itu
sebagai punca beliau menjalankan perniagaan.
Dengan menjadikan keredhaan
Allah SWT sebagai sasaran pertama perniagaan, peniaga-peniaga muslim
akan mampu untuk melakukan perkara-perkara terpuji lain di dalam
perniagaan mereka dan pastinya perniagaan akan mendapat keberkatan dan
bertambah maju.
“Sesungguhnya Allah telah
membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan
syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka
membunuh atau terbunuh.(Itu telah menjadi) Janji yang benar dari Allah
di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati
janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli
yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah
At Taubah, Ayat 111)
2. Berniaga Mengikut Sunnah
Perniagaan mengikut sunnah
junjungan besar Rasullullah SAW adalah perkara yang perlu diikuti oleh
kita semua sebagai seorang peniaga muslim. Rasulullah dahulu ketika
berniaga, tidak pernah menyakiti hati peniaga lain dan tidak pernah pula
berlaku kurang jujur dengan pelanggan. Hal ini diakui oleh mereka yang
pernah berurusan dengan baginda SAW sebelum baginda diangkat menjadi
rasul lagi.
Dalam satu peristiwa, seorang
peniaga bernama Saib bin Ali Saib datang menemui Rasulullah SAW. Melihat
Saib datang, Nabi Muhammad berkata, “Mari, mari. Selamat datang saudara
saya, dan rakan niaga saya yang tidak pernah bertengkar,” kata Nabi
Muhammad.
Saib membalas dengan berkata,
“Kita tidak pernah bertengkar sebab tuan peniaga yang sentiasa lurus dan
tepat dengan kiraan.” Kisah ini saya petik daripada buku “Cerita
Motivasi Untuk Pemimpin” keluaran PTS.
Saya terkenang kembali
kata-kata seorang tokoh perniagaan yang berjaya ketika beliau
menyampaikan syarahan berkenaan perniagaan beliau, dan salah satu
perkara yang dinyatakan oleh beliau berkait dengan teknik Rasulullah
berniaga.
Ketika baginda berniaga,
baginda menyatakan harga modal yang diperoleh kepada bakal pembeli.
Kemudian, baginda menyatakan pula harga jual kepada bakal pelanggan
tersebut. Ini merupakan satu contoh perlakuan terpuji Rasulullah yang
perlu kita ikuti ketika hendak berniaga.
“Dari Anas Radiallahuanhu
berkata Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Barangsiapa yang merasa
penat kerana bekerja untuk mencari rezeki yang halal, nescaya terampun
segala dosanya”.(Riwayat Al-Imam As-Suyuti)
3. Berkata Benar dan Berlaku Jujur
“Dari Abi Sahid dari Nabi
Sallallahu Alaihi Wasallam Baginda bersabda : Peniaga yang dapat
dipercayai dan beramanah, akan bersama para Nabi, orang-orang yang dapat
dipercayai dan orang-orang yang mati syahid” (Riwayat Al-Imam
At-Tarmizi). Dalam konteks ini, kejujuran ditekankan kerana kejujuran
merupakan antara elemen terpenting dalam perniagaan.
Ketika kita berbnicang
mengenai perniagaan seorang muslim, kita sebenarnya sedang membincangkan
satu konsep perniagaan yang membangunkan hubungan kepercayaan di antara
peniaga dan pelanggan, dan piawaian ini tidak boleh dicapai dengan
adanya dusta dan penipuan.
Pada suatu hari, Nabi Muhammad
berjalan-jalan di kawasan pasar bandar Madinah. Baginda lalu di hadapan
seorang peniaga yang menjual buah-buahan yang dilonggok-longgokkan.
Rasulullah memeriksa buah-buahan itu dengan memasukkan tangannya ke dalam satu longgokan.
Kemudian Nabi Muhammad menarik tangannya keluar dan menunjukkan jarinya yang basah kepada peniaga itu.
“Apa ini saudara ?” tanya Nabi Muhammad. “Terkena hujan, tuan,” kata peniaga itu.
“Mengapa saudara tidak
letakkan buah-buahan yang basah itu di sebelah atas supaya orang dapat
melihatnya ?” kata Nabi Muhammad. Kemudian baginda berkata lagi, “Barang
siapa menipu, dia bukan pengikut saya.”
4. Buka Ruang Pada Pandangan Serta Kritikan Yang Membina
Walaupun kritikan daripada
pelanggan adalah seperti “pil pahit” yang harus ditelan, setiap peniaga
muslim harus ingat bahawa yang pahit itu tidak semestinya racun,
manakala manis tidak semestinya penawar. Banyak benar contoh yang boleh
mengaitkan penawar itu dengan sifat ‘pahit sedikit’.
Kritikan yang berasas dan
membina merupakan keperluan dalam perniagaan yang kadang-kadang tidak
dipandang oleh peniaga Muslim. Mereka menganggap kritikan itu lebih
membawa keburukan kepada perniagaan mereka. Sebenarnya mereka tersilap.
Dengan kritikan yang membina itu, seorang usahawan itu bukan sahaja
boleh bertahan lebih lama, bahkan mampu untuk mengembangkan lagi
perniagaan beliau ke medan yang lebih luas.
5. Sasarkan Matlamat Yang Lebih Tinggi
Usahawan muslim sewajarnya
tidak berada di takuk yang sama. Sewajarnya dengan pelancaran produk
baru, target perniagaan bagi jangka waktu sederhana serta jangka waktu
panjang juga telah dilaksanakan.
Ini juga bererti, perniagaan
yang diusahakan oleh usahawan muslim perlu mempunyai sistem yang mantap.
Sistem yang tersusun dan saling melengkapi antara satu sama lain. Bagi
menerangkan hal ini, kita semak kembali apa yang telah dinukilkan oleh
Allah SWT di dalam surah As-Saff ayat 4 yang bermaksud: “Sesungguhnya
Allah mencintai orang-orang yang berjuang dijalanNya dalam barisan yang
teratur, mereka seakan-akan seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
6. Bekerjasama Dengan Muslim Lain Dalam Pasaran Anda
Ini mungkin perkara yang
sangat sulit bagi sesetengah usahawan. Saling tunjuk menunjuk, tuduhan
demi tuduhan dan teknik menikam dari belakang sering menjadi pilihan
sesetengah muslim yang memasarkan produk yang sama dengan pesaingnya.
Tapi ini sama sekali bukan etika ekonomi seorang muslim harus bekerja.
Persaudaraan dalam umat tidak
wajar dilupakan. Pertimbangkan untuk membentuk sebuah kesatuan usahawan
Muslim yang terdiri daripada peruncit atau pengedar serta boleh
sama-sama berkongsi pengalaman, dan belajar untuk bekerja sama.
Kerjasama ini tidak lain dan tidak bukan dapat menguntungkan pengguna
Muslim itu sendiri, dan akhirnya menguntungkan perniagaan Muslim
sendiri.
7.Jangan Menjual Benda-Benda Haram
Harta yang halal membawa keberkatan dalam hidup. Ini merupakan ungkapan yang boleh digunakan untuk menjelaskan tip terakhir ini.
Ingatlah bahawa orang yang
mendapat rezeki dari sumber yang tidak halal akan membawa akibat yang
buruk seperti rezeki yang diperolehi tiada keberkatan di dalamnya,
hilang kepercayaan orang ramai kepadanya, tidak akan diterima doanya,
akan mendapat tempat yang hina di sisi Allah Subhanahu Wata’ala dan
dimasukkan ke dalam api neraka.
Sabda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam maksudnya : “Dari Khaula Al-Ansariah Radiallahuanha ia
berkata : Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :
Bahawasanya orang yang mencampur adukkan harta Allah dengan jalan yang
tidak halal, maka mereka akan mendapat seksaan api neraka pada hari
kiamat kelak”. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)
P/S: Jom kite contohi cara Rasulullah berniaga agar kite semua mendapat keberkatan di dunia dan akhirat…InsyaAllah..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan