KIB sendiri dulu pengidap GASTRIK tegar.. |
HARAPNYA Ramadan kali ini, yang akan
menjelang beberapa hari lagi, tiada yang akan memberikan alasan gastrik
untuk meninggalkan puasa.
Alasan ini terlalu lapuk dan tidak boleh diterima lagi kerana kebanyakan ubat gastrik di pasaran mampu membantu anda bertahan sepanjang hari.
Gastrik adalah masalah
yang sangat lazim dalam masyarakat kita. Ia bukan penyakit, tetapi
gangguan dalam perut, terutama apabila bahagian perut atas (berhampiran
ulu hati) berasa sakit dan tidak selesa.
Perut kita merangkumi kantung kosong yang berotot terletak di bahagian atas di kiri abdomen, betul-betul di bawah rusuk.
Panjang perut orang dewasa lebih kurang
25 sentimeter (10 inci) dan boleh mengembang untuk menampung satu gelen
makanan dan minuman.
Ketika perut kosong, tisu perut tersusun
rapat dan berlipat sesama sendiri seperti kipas. Apabila ada makanan,
lipatan ini terbuka dan mengembang.
Dalam perut inilah makanan diproses dan disimpan sebelum ia dibuang melalui usus.
Daripada mulut, makanan perlu melalui esofagus (saliran makanan yang panjang dan berotot) sebelum sampai ke perut.
Dinding perut pula ada beberapa lapisan otot yang menggodak makanan sehingga hancur.
Pada masa sama, kelenjar pada dinding
perut merembeskan jus gastrik (termasuk enzim dan asid perut) bagi
membantu mencernakan makanan.
Satu asid, iaitu asid hidroklorik, bersifat kakis dan boleh melarutkan besi.
Bagaimanapun, kehadiran mukus atau cecair bikarbonat dapat menseimbangkan paras keasidan dalam perut dan melindungi tisu perut.
Perunding Pembedahan Gastroenterologi,
Dr Abd Hamid Mat Sain, berkata radang perut atau gastritis berlaku
apabila keseimbangan ini terganggu.
Keradangan ini biasanya berpunca daripada tindakan bakteria Helicobacter pylori yang hidup dalam perut.
Bagaimana bakteria ini berjangkit
(biasanya pada kanak-kanak dan berlanjutan sepanjang hayat jika tidak
dirawat) dan menyebabkan keradangan pada sesetengah orang belum
diketahui dengan jelas.
Namun jika keradangan ini dibiarkan tanpa rawatan, lama kelamaan ia boleh menyebabkan ulser.
Sesetengah ubat jika diambil dalam
jangka masa panjang juga boleh menyebabkan radang perut, khususnya ubat
tahan sakit atau anti peradangan bukan steroid (NSAIDs) seperti aspirin,
ibuprofen dan naprofen.
Bagaimanapun, kesan ubat ini berbeza antara individu kerana bagi individu sensitif, satu pil boleh menyebabkan sakit perut.
Malah, keseimbangan ini juga terjejas
dengan pengambilan alkohol berlebihan atau mengambil dadah (kokain) yang
mengganggu proses penghasilan mukus bikarbonat, menyebabkan dinding
perut terdedah pada tindakan asid hidroklorik.
Sebenarnya, banyak faktor boleh
menyebabkan sakit perut. Ia tidak semestinya berpunca daripada gangguan
dalam perut, tetapi mungkin disebabkan pengaruh daripada gangguan pada
organ lain seperti hati, pundi hempedu, pankreas atau saliran makanan
yang menjadi jiran kepada perut.
Jenis makanan juga boleh menjadi penentu kepada masalah dihadapi seseorang.
Contohnya, jika sakit perut setiap kali
makan makanan berlemak atau berminyak, ia menandakan ada masalah dengan
pundi hempedu. Biasanya, ia disebabkan kehadiran batu hempedu yang
menghalang pengeluaran cecair hempedu untuk mencernakan lemak.
Apabila laluan ini terhalang, tekanan dalam pundi hempedu meningkat dan menyebabkan sakit perut, katanya.
Biasanya, melalui soal jawab dengan
pesakit, doktor boleh tahu punca masalah mereka. Katanya, untuk
pengesahan, doktor melakukan pemeriksaan imbasan bunyi atau endoskopi
bagi meneropong keadaan dalam perut pesakit.
Sakit pada ulu hati pula boleh
disebabkan dua perkara, iaitu sama ada masalah refluks asid (aliran
songsang asid perut ke esofagus, GERD) atau jangkitan Hepatitis (radang
hati).
Untuk membezakannya, sakit akibat GERD
berlaku secara berepisod manakala jika disebabkan Hepatitis, pesakit
mengalami kesakitan sepanjang masa, walaupun makan ikut waktu.
Pesakit juga boleh melihat sendiri
perubahan pada badan mereka. Jika mendapat jangkitan Hepatitis, mata
putih berubah menjadi kekuningan.
Namun, ia bukan petanda mutlak kerana saluran hempedu yang tersekat akibat kehadiran batu hempedu juga menunjukkan simptom sama.
Justeru, kata Dr Abd Hamid, pesakit mesti segera menjalani pemeriksaan bagi memastikan ia bukan disebabkan jangkitan Hepatitis.
Secara umum, gejala gastrik adalah:
- Sakit pada bahagian atas abdomen. Ia boleh reda atau semakin sakit apabila makan.
- Perut menjadi sensitif terhadap makanan berasid (masam), pedas dan minuman beralkohol.
- Mual.
- Muntah.
- Hilang selera.
- Perut bahagian atas terasa penuh dan senak selepas makan sedikit.
- Hilang berat badan.
- Pedih ulu hati.
Serangan gastrik mudah dikawal dengan
pengambilan ubat antasid (untuk mengurangkan keasidan dalam perut) atau
makan pada waktu tetap. Gastrik juga boleh jadi masalah sepanjang hayat jika pesakit tidak menjaga pemakanan kerana ketika ini perut sensitif.
Jika sensitif atau tidak sesuai dengan
satu-satu jenis ubat, segera tukar kepada ubat lain. Ada banyak jenis
ubat gastrik di pasaran, pasti ada yang sesuai dengan kita.
Paling penting, jangan makan ubat
ketika perut kosong melainkan jika diarah begitu dan patuhi jadual
pengambilan ubat kerana makan ubat ketika perut kosong atau dos
berlebihan boleh memberi kesan pada dinding perut, katanya.
Gastrik tidak bermakna tidak boleh
berpuasa. Malah, berpuasa (atau mengosongkan perut) adalah baik untuk
kesihatan secara keseluruhan.
Memang orang yang ada gastrik tidak tahan dengan keadaan perut kosong, tetapi kata Dr Abd Hamid,
mengosongkan perut selama 14 jam bukan tempoh lama.
Orang yang ada gastrik dinasihatkan mengambil ubat setiap hari, sama ada selepas berbuka atau ketika bersahur.
Fahami juga kuasa atau tindakan ubat.
Jika ia perlu makan sehari sekali, bermakna ubat itu boleh memberi perlindungan atau mengurangkan keasidan dalam perut selama 24 jam.
Maknanya, dengan pengambilan ubat, pesakit boleh menjalankan ibadat puasa seperti orang lain tanpa masalah.
Bagaimanapun jika terlupa mengambil ubat, ibadat puasa masih boleh diteruskan dan ia tidak mendatangkan kemudaratan.
Pesakit tidak sepatutnya menderita
kerana gastrik. Ia adalah gangguan yang mudah diatasi, dengan syarat
pesakit didiagnos dengan betul dan mendapat rawatan sepatutnya.
Keradangan perut yang dibiarkan tanpa rawatan boleh berubah kepada ulser.
Jika masih tidak diberikan rawatan ia mungkin menjadi kanser, tetapi kes ini jarang berlaku.
Bagaimanapun, jika ubat diberikan
doktor masih tidak berjaya mengatasi masalah gastrik, pesakit boleh
meminta untuk dirujukkan kepada pakar supaya masalah sebenar dapat
diketahui dan dirawat segera, katanya.
Elak makanan pedas, masam
BEBERAPA langkah boleh diambil untuk mengelak dan mengawal gejala gastrik, iaitu:
1) Makan secara bijak. Jika anda kerap
sakit perut selepas makan, buat perubahan pada jadual makan anda. Makan
lebih kerap, tetapi dalam kuantiti sedikit. Ia boleh menampan
penghasilan asid perut.
Elakkan makan makanan yang mendatangkan
kerengsaan pada perut seperti makanan pedas, masam, berempah, berminyak,
bergoreng dan berlemak.
2) Kurangkan minum minuman beralkohol. Ia
boleh mengganggu penghasilan mukus beralkali dalam perut dan menyebabkan
dinding perut radang atau berdarah.
3) Berhenti merokok. Asap rokok juga
memberi kesan kepada lapisan pelindung dalam perut. Merokok sebenarnya
menggalakkan penghasilan asid perut, melambatkan proses penyembuhan luka
dan meningkatkan risiko ulser bertukar menjadi kanser.
4) Tukar ubat jika ubat gastrik yang diambil sekarang tidak berkesan.
Patuhi jadual pengambilan ubat dan pastikan ubat diambil selepas makan.
5) Kekalkan berat badan seimbang. Masalah
ketidakhadaman makanan boleh berlaku kepada sesiapa saja tanpa mengira
berat badan, tetapi sakit perut akibat refluks asid lebih kerap melanda
orang gemuk.
6) Mengekalkan berat badan seimbang membantu mengawal dan mengelakkan simptom gastrik.
7) Banyakkan bersenam. Sebarang jenis
senaman aerobik (30 minit sehari) sebenarnya membantu meningkatkan kadar
pernafasan dan degupan jantung yang secara tidak langsung merangsang
aktiviti otot usus. Ia memudahkan aliran makanan ke dalam usus.
8) Belajar mengendalikan tekanan. Tekanan
meningkatkan penghasilan asid perut dan memperlahankan proses pencernaan
makanan. Ini menyebabkan seseorang lebih berisiko mengalami masalah
sakit perut dan mendapat gejala gastrik. Tekanan juga meningkatkan
risiko serangan jantung dan strok, melemahkan sistem pertahanan badan
dan mencetuskan pelbagai masalah kulit.
***Inilah produk DCL yang KIB amalkan ketika bersahur..Alhamdulillah setelah mengamalkan hampir setahun..Gastrik bukan lagi alasan utk tidak berpuasa..kerana KIB sudah bebas dari merasainya..Terima kasih dgn bantuan produk hebat ini...
Hubungi atau SMS..
Kak Ina Bidadari 012 3171593
Tiada ulasan:
Catat Ulasan