SALAM silaturrahim kepada semua hamba Allah yang dikasihi....
Setahu saya tiada seorang pun hamba Allah yang tidak mengidamkan
kejayaan dalam hidup. Terdapat berbagai cara bagi mencapai semua itu.
Namun yang penting ialah keazaman kuat untuk mendapatkannya. Ingin saya
berkongsi cerita mengenai beberapa individu yang mendapat kejayaan
melalui jalan penuh ranjau.
Suatu ketika dahulu di Amerika
Syarikat, seorang ibu miskin telah melahirkan anaknya di tangga sebuah
sekolah. Dalam saat genting itu dia menerima bantuan daripada para
penuntut dan guru-guru sekolah tersebut. Disebabkan kelahiran berlaku
dalam keadaan yang serba kekurangan, muka bayi yang dilahirkan itu
kelihatan senget sebelah.
Bila meningkat remaja, anak itu mula
menyimpan cita-cita hendak menjadi pelakon ternama. Matlamatnya sungguh
jelas. Oleh kerana itu dia mendaftarkan diri di sebuah sekolah
senilakon.
Setelah lulus pengajian dia mula menghadiri ujibakat
di mana-mana sahaja. Namun, nasibnya malang, tiada seorang penerbit
atau pengarah yang sudi mengambilnya berlakon dalam filem mereka.
Suatu hari selepas ujibakatnya gagal entah kali yang ke berapa, remaja
itu terus duduk menunggu di bilik pengarah. Dia enggan keluar walaupun
setelah diarah berbuat demikian. Pengarah yang berasa kasihan dengan
remaja tersebut lalu menawarkan satu peranan kecil. Tawaran tersebut
diterima kerana menganggap ia bakal membawa kepada tawaran yang lebih
besar pada masa hadapan.
Namun sebaliknya pula yang berlaku.
Sebaik sahaja sesi rakaman filem selesai, dia masih tidak ditawarkan
peranan berlakon lagi. Lalu bermulalah kembali sesi menghadiri ujibakat
yang ain.
Suatu hari dia pergi menonton pertandingan tinju di
antara juara terkenal, Muhammad Ali dengan Chuck Webner. Ramai penonton
meramalkan Muhammad Ali bakal menjadi juara. Memang tekaan mereka betul,
namun yang menjadi perhatian ialah kemenangan itu Ali peroleh hanya di
hujung pusingan akhir. Semangat Chuck Webner yang kental menarik
perhatian remaja tersebut.
Sikap Webner telah memberinya idea
untuk menulis skrip filem mengenai seorang peninju. Skrip yang mengambil
masa selama 84 jam untuk disiapkan itu diberi jodol “Rocky”.
Dia menjaja skrip itu ke sana ke mari namun tidak ada sesiapa yang sudi
membelinya sehinggalah saat dia bertemu seorang pengarah filem yang
menawarkannya AS$255,000 sebagai harga bagi skrip tersebut.
Dia memang gembira dengan tawaran itu namun disebabkan matlamat
cita-citanya jelas iaitu ingin menjadi seorang pelakon, dia hanya
bersedia menyerahkan skrip itu dengan syarat dirinya dipilih menjadi
pelakon utama.
Pengarah kurang bersetuju kerana baginya keadaan
fizikal remaja itu tidak melayakkan dia menjadi pelakon. Harga skrip
kemudian dinaikkan hingga ke AS$1 juta, namun tetap ditolak oleh remaja
yang sungguh bersemangat hendak berlakon. Akhirnya harga skrip
diturunkan kepada AS$35,000 sahaja dan si remaja diberi peluang
melakonkan watak utama.
Ternyata filem “Rocky“ mendapat
sambutan luar biasa. Penerbit mendapat untung AS$171 juta hasil jualan
tiket. Kejayaan ini membuahkan pula filem-filem susulan seperti “Rambo”,
“Rocky 2” dan lain-lain.
Menjelang ketika ini saudara tentu
sudah tahu pelakon mana yang saya maksudkan. Dialah SYLVESTER STALLONE.
Bermula dengan nasib yang terumbang-ambing, kini setiap kali Stallone
ditawarkan sesuatu watak, dia akan dibayar sekurang-kurangnya AS$20
juta.
Pernahkah saudara mengalami situasi yang dihadapi oleh
Stallone apabila segala usaha tidak membuahkan hasil yang diharapkan ?
Sesungguhnya ketika itu Allah sedang menguji saudara. Allah tidak
menguji seseorang itu di luar daripada kemampuannya.
Yang ini
pula merupakan kisah seorang pesara tentera berusia 60 tahun yang memang
handal memasak ayam goreng. Dia yakin ayam goreng dengan resepi
rahsianya itu akan laris di pasaran. Namun disebabkan kekurangan modal
untuk membuka kedai sendiri dia cuba menjual ayam goreng itu di berbagai
kedai lain.
Namun usahanya gagal sehinggalah dia menemui
pemilik kedai ke 1,008 yang bersedia menjualkan ayam gorengnya. Memang
ayam goreng itu laris dan kini telah menjadi terkenal di seluruh dunia
dengan nama Kentucky Fried Chicken. Pesara tentera yang tidak pernah
putus asa itu adalah Kolonel Sanders yang sangat dikenali ramai termasuk
kanak-kanak.
Saudara, apabila kita cuba mencapai sesuatu
tetapi masih belum mencapainya, bererti kejayaan itu masih tertangguh.
Ia hanya datang selepas kita berhempas pulas menghadapi cabaran.
Bagaimanapun, di saat kita berputus asa, kejayaan tertangguh tersebut
terus hilang.
Mengapa harus mengalah? Mungkin ini disebabkan
matlamat belum cukup jelas. Ingatlah when a vision is clear, the action
gets easier. Kalau berputus asa, ertinya kita sendiri tidak tahu apa
yang kita inginkan.
Wallahualam.
with my bestie frenz and biz partner... |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan