Dugaan hidup itu PASTI!!
ALLAH
SENTIASA MENDUGA KITA. Menguji sejauhmanakah kekuatan iman dan takwa
hamba-hamba-Nya. JIka kita lemah, kita akan tersungkur. Jika kita kuat,
kita akan mengecapi kebahagiaan dan kenikmatan hidup yang tidak kita
sangka-sangkakan. Percayalah dengan ketentuan-Nya.
Kita harus
yakin bahawa Allah akan sentiasa menguji kita dengan kadar keimanan kita
sendiri. Lihatlah bagaimana seorang rasul apabila menerima ujian Allah
berbanding diri kita yang kerdil ini.
Dugaan yang kita tempuhi
itu sudah semestinya dapat menjadikan hati kita semakin kuat, penuh
keyakinan serta menghasilkan keimanan, kesabaran dan melemahkan hawa
nafsu. Janji Allah sebagaimana termaktub dalam Surah Ibrahim, ayat 7
bermaksud :"Sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambahkan
(nikmat) kepadamu." Setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah
itu Maha Mengetahui. Redha dan pasrah selain terus berusaha memperbaiki
hubungan dengan Allah SWT.
Realiti kehidupan
Kita
sering berkeluh-kesah dengan pelbagai masalah menimpa. Celik sahaja
mata, otak sudah berputar berfikir dengan 1001 perkara atau masalah yang
harus diselesaikan. Orang bujang dengan masalah orang bujang. Orang
berkeluarga dengan masalah tersendiri. Orang pencen pun masih tidak
sunyi dengan ujian-ujian hidup.
- Orang yang masih menyewa berfikir untuk membeli sebuah rumah.
- Orang yang sudah beli rumah berfikir untuk membeli rumah yang lebih besar.
- Orang yang menganggur berfikir untuk mendapatkan apa-apa pekerjaan.
- Orang sudah berkerja berfikir untuk meningkatkan pendapatan bulanan.
- Orang yang bujang berfikir untuk menyimpan duit persediaan berkahwin.
- Orang yang berkahwin berfikir untuk menyimpan persediaan menimang cahaya mata.
- Orang yang memandu kereta kecil berfikir untuk membeli kereta lebih besar.
- Orang yang sudah ada kereta besar berfikir untuk membeli kereta besar yang lebih hebat
dan terkini.
Di manakah kedudukan kita sekarang? Mungkin sedang berkeluh-kesah dengan kehidupan seharian.
- Gaji tidak cukup.
- Rumah kecil.
- Perbelanjaan meningkat.
- Tiada simpanan.
- Hubungan dingin suami isteri.
- Suasana kerja membosankan.
- Dan lain-lain lagi.
Firman Allah :
"Jika Allah menimpakan suatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang
dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki
kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurniaan-Nya. Dia
memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara
hamba-hamba-Nya yang lain dan Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha
Penyayang." (Surah Yunus : 107)
Memang sukar untuk diluah atau
dlafazkan tentang apa yang kita alami. Tidak semua memahami apa yang
kita tempuhi. Penyesalan itu baik tetapi lagi baik kita berusaha
bertindak menyelesaikan permasalahan yang dihadapi itu dengan penuh
hikmah. Mungkin ada langkah terbaik yang belum kita temui. Di samping
berserah dan bertawakal pada-Nya, kita berusaha untuk mengatasi setiap
permasalahan dihadapi. Berdoa pada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pemberi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan