Khamis, 29 Mac 2012

Renungan PAGI JUMAAT

Memperbaiki Kualiti Hati

Kita harus memperbaiki kualiti hati sebagaimana kita menjaga jasad kita keseluruhannya. Kita mungkin prihatin dalam soal menjaga kesihatan fizikal dengan memastikan pengambilan makanan kesihatan, beriadah dan sebagainya. Namun begitu mungkin kita kurang memberi perhatian kepada anggota yang dominan dalam menentukan tindak tanduk kita iaitu hati.

Peranan hati digambarkan dalam potongan hadis bermaksud: “…apabila segumpal daging (hati) ini baik, maka menjadi baik pula seluruh tubuhnya…” (HR Bukhari).

Oleh itu, menjadi perkara utama dalam kehidupan kita untuk mempastikan hati kita adalah berkualiti. Hanya hati yang berkualiti sahaja yang mampu melahirkan amal kebaikan, mengajak kepada makruf dan menghalang diri kita daripada melakukan kemungkaran. Hanya hati sebegini sahaja yang akan membawa pemiliknya menempa kejayaan di dunia dan akhirat.

Untuk itu kita perlu mengenali kaedah untuk membaiki dan menjaga kualiti hati sebagaimana berikut:

i. Berzikir kepada Allah.

Manfaat zikir bagi hati sangatlah besar. Umpama ikan memerlukan air untuk hidup. Begitu juga hati akan hidup bila diberikan makanan berupa zikir kepada Allah. Orang yang berzikir dengan penuh kekhusyukan akan menghidupkan hatinya. Hati akan bercahaya, selamat daripada kerosakan dan kematian.

Amat malang sekali bila hati sudah mati, walaupun jasad pada hakikatnya masih hidup tetapi ia tidak berguna di sisi Allah. Tidak berupaya melihat kebenaran. Tidak mampu melihat kebesaran Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang yang berzikir (menyebut dan mengingati) Tuhannya dan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” (HR Bukhari).

ii. Mengingat kematian.

Barangkali kita malas untuk mengingat kematian kerana kematian akan menurunkan keghairahan kita untuk merebut kemewahan dunia. Mungkin ramai yang melihat kematian ini merupakan satu takdir yang akan tetap dihadapi. Tidak perlu fikir. Hidup ini perlu diteruskan.

Tetapi kita tidak boleh alpa. Kerana kematian suatu yang pasti dan ia datang pada waktu yang kita tidak boleh jangka.

Kalau kita renung kehidupan kita ini, berapa lamakah kita boleh bertahan. Paling panjangpun mungkin umur kita menjangkau 80 tahun…? Tetapi selepas itu kita akan menghadapi suatu kehidupan di akhirat yang berkekalan. Wajarkah atau berbaloikah kita hanya senang, mewah, seronok, bahagia hanya dalam jangkamasa yang singkat sahaja di dunia ini? Sedangkan dalam kehidupan kita yang berkekalan di akhirat kita terpaksa bergelumang di dalam azab Allah???

Orang yang mengingat kematian akan sedikit berangan-angan, banyak beramal kebaikan dan memiliki rasa takut yang besar untuk berbuat dosa. Rasulullah S.A.W. memerintahkan kita mengingatkan kematian dengan bersabda yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati penghancur kenikmatan iaitu kematian.” (HR Tirmidzi)

Said bin Jubair berkata: “Sekiranya hatiku berpisah dari mengingat kematian, maka aku benar-benar khuatir hal itu dapat merosak hatiku.”

iii. Ziarah Kubur

Ziarah kubur akan mengingatkan kita perjalanan hidup ini. Satu proses kehidupan bermula dari alam ruh. Kemudian berpindah ke alam rahim di dalam perut ibu kita. Seterusnya kita menghirup kehidupan dunia dalam jangka waktu yang telah ditetapkan Allah.

Dalam kehidupan dunia ini kita akan mencari bekalan sebanyak-banyaknya untuk menghadapi satu kehidupan yang berkekalan. kIta perlu selalu ‘bersoal jawab’ dengan diri kita. Melihat ‘penyata untung (pahala) dan rugi (dosa)’ berkaitan amalan harian,bulanan dan tahunan kita.

Aktiviti ziarah kubur ini akan menyuntik semangat untuk meningkatkan amal kebaikan yang akan menerangi dan menghidupkan hati. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Dulu aku pernah melarangmu ziarah kubur. Sekarang berziarahlah ke kubur, kerana ia akan melembutkan hati, menitiskan air mata, mengingatkan akhirat, dan membuatkan kamu tidak mengucapkan perkataan yang buruk.” (HR Al Hakim)

Ada dikalangan orang-orang yang soleh seperti Shafwan bin Sulaim yang sering mengunjungi perkuburan Baqi’ apabila merasakan hatinya mulai keras. Ia bukan hanya mengunjugi kubur saudara atau keluarga sendiri sahaja.

iv. Mengunjungi Orang-Orang Soleh.

Mengunjungi orang yang soleh dan melihat amal kebaikan mereka sangatlah memberi manfaat kepada hati kita. Jaafar bin Sulaiman berkata, “Apabila aku mendapati hatiku mulai mengeras, aku pergi melihat wajah Muhammad bin Wasi’. Ia seolah-olah menjadi pelipur lara bagiku.” Rasulullah S.A.W. bersabda: ” Perumpamaan teman duduk yang soleh itu seperti penjual minyak wangi. Jika ia tidak memberimu sebahagian dari minyak wanginya, maka kamu sudah mendapatkan bau yang wangi darinya.” (HR Abu Dawud).

v. Mengasihi Orang Miskin dan Menyayangi Anak Yatim
Apabila mengasihi orang miskin dan menyayangi anak yatim, hati kita akan menjadi lembut, tawadhu’; jauh dari keangkuhan, kesombongan dan kekesatan hati. Rasulullah S.A.W. bersabda: “Apakah kamu ingin hatimu menjadi lembut dan dapat memenuhi hajatmu? Sayangilah anak yatim, usaplah kepala mereka, dan berikan kepada mereka sebahagian dari makananmu, nescaya hatimu akan menjadi lembut dan dapat memenuhi hajatmu.” (HR Thabrani)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan