Sukarnya Mendidik Hati Utk Menerima Teguran
Satu Posting yang menarik untuk dikongsikan bersama... Dipetik dari tulisan Ustz. Hazmi Dibok -UMP-
Kita sesungguhnya sebagai insan, adalah makhluk yang sangat lemah.
Allah s.w.t. sendiri menjelaskan hakikat ini dalam firmanNya yang
bermaksud ; “dan manusia dijadikan bersifat lemah” [Surah An-Nisaa’ ayat
28].. Lemahnya seorang manusia itu sehingga ia pada bila-bila masa
sahaja terdedah dengan kesilapan dan kesalahan. Bila-bila masa sahaja…
dan sesiapa sahaja… termasuklah seorang daie itu sendiri.
Lantaran kita sahaja yang sering membimbing dan mendidik, memimpin dan
menunjuk, sering menyampaikan nasihat dan bertazkirah.. ia boleh
menimbulkan sejenis penyakit sampingan yang terkadang tidak disedari
kecuali oleh mereka yang mendapat taufik Allah s.w.t. iaitu penyakit
sukar menerima teguran, nasihat mahu pun kritikan.
Secara lisan
memang mudah untuk seorang yang telah memiliki kedudukan tertentu di
mata manusia untuk menyatakan bahawa “kita mestilah boleh menegur dan
ditegur!” namun, secara hakikatnya Allah s.w.t. sahaja yang tahu
bagaimana sukarnya membuang bisikan mazmumah ketika diri kita ditegur
dan dikritik.Di antara kuman atau virus biasa yang akan mendampingi kita
(daie, murabbi, qiyadah dsb) tatkala ditegur, dinasihati ataupun
dikiritik ialah ;
* Sukar menerima kesilapan dan kesalahan yang dikritik
* Mencari justifikasi untuk membenarkan atau mempertahankan kesalahan tersebut
* Segera berpaling kepada kelemahan dan keburukan yang ada pada si penegur
* Mempertahankan kesalahan sendiri dan memburukkan peribadi si penegur
Kuman-kuman dan virus tersebutlah sekiranya tidak dihapuskan dengan
segera akan mendedahkan kepada situasi yang lebih buruk sehingga membawa
kepada terkoyaknya persaudaraan Islam dan timbulnya bibit-bibit
permusuhan. Bagaimanakah cara untuk mencegah diri dari ditimpa oleh
risiko penyakit jiwa yang merbahaya ini? Di antara tips nya ialah :
* Sewaktu menerima kritikan dan teguran di atas kesalahan yang
memang kita lakukan, berfikirlah dengan dengan akal dan jiwa yang waras,
tidak emosional dan dikuasai perasaan.
* Berusaha melihat
sesuatu dengan berjiwa besar dan berpandangan luas (big picture).
Sekiranya timbul perasaan malu dan jatuh maruah ketika ditegur, yakinkan
diri dengan segera bahawa orang yang berlapang dada dengan teguran akan
lebih dihormati.
* Segera bersangka baik bahawa si penegur
yang menasihati kita tersebut sebenarnya sangat sayang akan kita
sehingga ia sangat berharap perubahan yang positif dari tegurannya,
bukan merendahkan kita.
* Anggaplah bahwa kejadian ditegur
atas kesilapan ini adalah cara Allah s.w.t. mendidik kita secara
langsung. Allah sangat sayang kepada kita sehingga ditakdirkan ada orang
yang berani menegur dan memperbaiki kesilapan kita. Nikmatilah tarbiyah
Allah ini..
* Bersyukur lantaran ada orang yang menegur
agar kita tidak semakin leka, lalai dan terseleweng. Bayangkan jika kita
terus di atas jalan kesilapan tersebut.. bagaimana natijahnya?
Ingatlah bahawa Rasulullah s.a.w. juga ditegur oleh Allah s.w.t. dalam
peristiwa bersama Abdullah bin Ummi Makhtum yang buta. Tatkala
Rasulullah s.w.t. sibuk melayani kalangan pimpinan dan pembesar kafir
Quraisy sehingga merasa agak tidak selesa dengan kedatangan Sahabat yang
buta lagi miskin ini datang untuk meminta pengajaran. Allah s.w.t.
lantas menegur Nabi s.a.w. di atas perkara tersebut. Selepas turun surah
ini, Rasulullah s.a.w. terus menyebarkannya agar dijadikan iktibar
kepada umat yang lain. Dan jika Baginda bertemu dengan Abdullah bin Ummi
Makhtum, baginda akan menyapanya dengan berkata: " Selamat bertemu
dengan orang yang menyebabkan aku dikecam oleh Tuhanku". Inilah tarbiyah
Allah s.w.t.
Inilah yang ditunjukkan pemimpin Islam selepas
era pasca nabawi sebagai menterjemahkan amalan dan sunnah Rasulullah
SAW. Saidina Abu Bakar al-Siddiq umpamanya, dalam ucapan sulungnya
selepas dilantik sebagai khalifah meminta umat membetulkannya jika dia
melakukan penyelewengan. Kata beliau, “andainya aku melakukan kebaikan,
bantulah; tetapi andainya aku melakukan kesalahan, perbetulkanlah aku…
patuhilah aku selama aku mentaati Allah, tetapi andainya aku sudah tidak
mentaati Allah, kamu tidak perlu mematuhi aku lagi…”
Khalifah
Sayyidina Umar al-Khattab juga berlapang dada menerima teguran daripada
seorang wanita berkenaan saranan beliau supaya kadar mas kahwin yang
diletakkan oleh pihak pengantin perempuan haruslah rendah kadarnya.
Wanita berkenaan menempelak pandangan Khalifah dan menegaskan bahawa
sebarang penetapan kadar mas kahwin sememangnya hak pengantin perempuan
dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan. Khalifah tidak menganggap teguran
tersebut sebagai perkara yang memalukan bahkan menegaskan dengan
kata-katanya, "Perempuan ini benar dan Umar telah bersalah". Penegasan
Khalifah seiring dengan doa beliau sebagai seorang pemimpin yang
menyebut sebagai, "Semoga Allah merahmati seseorang yang menunjukkan
kepadaku tentang keaiban diriku".
Jika Rasulullah s.a.w. juga
boleh ditegur, para sahabat besar juga bersedia ditegur.. siapalah kita
untuk membesarkan diri (ego) dari menerima teguran??? Firman Allah
S.W.T. :
"Dan apabila orang-orang yang apabila ia melakukan
perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, mereka ingat akan
Allah, lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa mereka. Dan siapakah
lagi yang dapat mengampuni dosa-dosa mereka selain dari Allah. Dan
mereka tidak meneruskan perbuatan keji tersebut sedang mereka
mengetahui. Mereka itu balasan mereka keampunan dari Tuhan mereka dan
balasan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai yang kekal mereka
di dalamnya, itulah sebaik-baik pahala bagi orang-orang yang
beramal."[Surah Ali 'Imran: ayat 135-136]
***Muhasabah diri...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan