Sedikit INFO mengenai pil perancang...kerana KIB sendiri adalah salah seorang yg mengambilnya..Jadi jgn takut jika anda mengambil pil perancang dgn BIDADARI serta produk lain..
Pil perancang mengandungi kombinasi dua hormon yang hampir sama
dengan hormon estrogen dan progesterone yang dihasilkan oleh kilang
telur (ovari) secara semula jadi. Ia menghalang ovulasi berlaku yang
mana telur tidak dilepaskan oleh kilang telur. Hormon ini juga
menyebabkan lelehan pada pangkal rahim (serviks) menjadi tebal dan ini
boleh menghalang sperma dari memasuki ke dalam rahim. Hormon ini akan
memberi kesan kepada lapisan dalam rahim (endometrium) yang menghalang
implantasi berlaku (perlekatan kandungan ke lapisan endometrium).
Apabila wanita mengambil pil perancang, kelenjar yang biasanya
mengawal kitaran haid berehat sementara, maka ia tidak mengalami kitaran
haid semula jadi. Pada waktu pertengahan kitaran haid tiada ovulasi
berlaku dan tiada telur yang dilepaskan oleh kilang telur, maka tiadalah
kehamilan. Wanita masih mengalami pendarahan kerana pil hormon diolah
supaya wanita mengalami pendarahan bulanan yang mana jumlahnya kurang
daripada haidnya yang biasa.
Secara amnya sebahagian besar wanita yang sihat pada peringkat umur
reproduktif adalah calon sesuai untuk mengambil pil perancang. Namun
begitu, sebelum menggunakan pil perancang puan perlu berjumpa dan
berbincang dengan doktor kerana ia tidak sesuai bagi sebahagian wanita
antaranya mereka yang merokok, mengalami migrain, masalah pundi hempedu,
darah tinggi, kencing manis, epilepsi, sejarah masalah darah beku pada
salur darah, penyakit hati dan jantung.
Kajian perubatan menunjukkan pengambilan pil perancang boleh
meninggikan risiko sakit jantung dan strok. Sebaliknya, kajian perubatan
mendapati pil perancang boleh mengurangkan risiko wanita daripada
mendapat jangkitan kuman pada pelvis (Pelvic inflammatory disease),
sista pada kilang telur, barah ovari dan barah endometrium. Kesan pil
perancang kepada barah payudara masih tidak diketahui sepenuhnya
walaupun kebanyakan kajian perubatan mendapati ia tidak mengakibatkan
peningkatan risiko untuk mendapat barah payudara.
Wanita yang baru mengambil pil perancang boleh mengalami kesan
sampingan, antaranya seperti mual, perubahan emosi dan perasaan, tidak
selesa pada payudara, pendarahan di luar waktu biasa haid, penambahan
berat badan, kulit menjadi lebih gelap. Sebahagian besar kesan sampingan
pengambilan pil perancang ini akan berkurangan dan hilang dalam masa
beberapa bulan pertama selepas pengambilan pil. Biasanya bagi wanita
yang baru mengambil pil ini dinasihatkan untuk mencuba
sekurang-kurangnya selama tiga bulan.
Pil perancang tidak menyebabkan kesuburannya terjejas. Kebanyakan
wanita boleh menjadi subur dan mengalami kitaran haid dalam masa empat
hingga enam minggu selepas berhenti mengambil pil perancang. Ada
sebahagian wanita mengambil masa lama untuk hamil selepas menggunakan
pil perancang seperti wanita yang kitaran haid semula jadinya memang
tidak tetap sebelum memulakan pil perancang, wanita yang melewatkan
kehamilan sehingga umurnya meningkat di mana tentunya boleh menjejaskan
kesuburannya serta wanita yang sebenarnya ada masalah tidak subur cuma
tidak diketahui sebelumnya kerana tidak pernah cuba mengandung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan