Ahad, 11 Disember 2011

Kekurangan diri merupakan satu kekuatan


Kekurangan diri bukanlah suatu halangan di dunia ini untuk seseorang itu memburu impian dan cita-citanya, sebaliknya kekurangan diri jika di amati betul-betul ianya merupakan cabaran serta pendorong buat diri seseorang untuk memiliki kehidupan yang diimpikan. Rata-rata jika diri kita sempurna, adakalanya kita leka dengan kesempurnaan yang dimiliki, manakala jika kita kurang sempurna seharusnya kekurangan tersebut akan memberi kita kesedaran untuk berusaha lebih kuat agar tidak ketinggalan dan tidak terlalu bergantung dengan bantuan orang lain. Apa yang penting dalam kehidupan ini hendaklah memiliki cita-cita dan impian serta seterusnya menetapkan matlamat bagaimana dan bilakah ianya boleh dicapai. Seterusnya terus bergerak dan berjuang untuk mengusahakan apa yang ingin dicapai. Gunalah kelebihan yang ada sebaik mungkin manakala terus berusaha untuk memperbaiki kekurangan yang ada dengan gigih serta azam yang kuat. Tidak ada yang mustahil untuk dicapai dalam kehidupan ini, asal sahaja mestilah sesuai dengan keupayaan untuk mengusahakannya dan mestilah logik untuk dicapai. Dimana ada usaha pasti akan ada jalan untuk melaluinya, banyak kejayaan yang berjaya dibangunkan dalam dunia ini merupakan hasil daripada mereka yang optimis dengan apa yang diusahakan dan tidak mengenal erti kekalahan walaupun beberapa kali gagal namun dengan gigih dan tabah terus melakukan dan berusaha akhirnya mereka berjaya. Kejayaan tidak diukur dengan ketinggian pencapaian kita tetapi berapa kerap kita pulih dengan cepat apabila kita tersungkur jatuh. Kemampuan pulih dengan cepat inilah yang menentukan kejayaan.

Kelebihan yang ada pada diri membuatkan diri mudah untuk melakukan serta mencapai apa yang diinginkan. Kelebihan yang ada pada diri juga boleh jadi satu kekuatan jika digunakan dengan sebaik mungkin, manakala jika tidak digunakan pada jalan yang betul ada kemungkinan kelebihan tersebut memusnahkan diri kita. Oleh yang demikian hargailah kelebihan diri yang dimiliki, manakala sentiasalah berusaha untuk memperbaiki kekurangan dan kelemahan yang ada pada diri. Mungkin ramai yang sedar akan setiap diri kita ini sudah pasti ada kekurangan dan kelebihan. Saya amat pasti tidak semua insan di dunia ini sempurna dalam semua perkara, baik dari segi fizikal, mental mahupun kehidupan. Tentu setiap insan yang mempunyai fikiran yang normal inginkan kejayaan dalam kehidupan ini. Bezanya setiap seseorang diantara kita ini adalah ilmu pengetahuannya. Hanya ilmu dan pengalaman yang akan membantu seseorang dalam pembanggunan kehidupan masing-masing. Setiap yang mempunyai fizikal dan akal fikiran yang sempurna seharusnya bersyukur, kerana tidak semua memilikinya. Bagi yang kurang pula, usah bersedih dan berduka kerana setiap kejadian yang menimpa diri itu tentu ada hikmahnya. Apa yang penting pada diri ku ialah semangat untuk mengenal pasti kekurangan dan kelemahan lalu berusaha untuk memperbaiki kekurangan dengan menjadikan kekurangan tersebut sebagai cabaran serta kekuatan untuk terus berusaha agar mampu dan boleh hidup seperti insan yang sempurna, walaupun terpaksa berusaha lebih sedikit daripada orang-orang yang sempurna fizikalnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan