Sarah Mia...hari pertama melihat dunia... |
TEKANAN DI KALANGAN WANITA SELEPAS BERSALIN
- Pendahuluan
- Definisi Tekanan Selepas Bersalin.
- Bentuk Tingkahlaku "postnatal depression"
- Faktor yang membawa kepada tekanan emosi "postnatal depression"
- Sokongan emosi orang terdekat paling berkesan
- Pendekatan kaunseling sebagai satu altenatif
- Penutup
Kehadiran cahaya mata merupakan detik yang membahagiakan namun tidak ramai pasangan yang membicarakan tentang kesan tekanan emosi yang dihadapi oleh wanita khususnya selepas melahirkan anak terutama semasa dan selepas pantang. Malah banyak yang tidak mengetahui bahawa jangka masa berpantang adalah penting untuk menentukan sama ada ibu akan kembali normal seperti sebelumnya atau si ibu akan menderita akibat tekanan emosi seumur hidup.
Tekanan emosi yang diertikan oleh masyarakat terutamanya masyarakat melayu dengan nama "penyakit angin meroyan". Ia dikaitkan sebagai penyakit tekanan emosi bagi ibu-ibu yang mengalaminya sewaktu atau selepas dalam pantang.
Dalam istilah perubatan ia dikenali sebagai "postnatal depression" yang bersangkut paut dengan kelakuan aneh sebagai kesan emosi (kejiwaan) yang dihadapi oleh wanita selepas melahirkan anak.
Wanita yang mengalami masalah "postnatal depression" seringkali menghadapi masalah sukar untuk tidur dan sentiasa mengalami kepenatan. Mereka kerap merasa tegang, rendah diri dan mudah untuk merasa marah. Mereka bukan sahaja menjauhi hubungan seksual dengan suami malah membencinya. Malangnya kebanyakan wanita yang menghidap "postnatal depression" tidak menyedarinya sebagai satu penyakit. Begitu juga dengan suami dan ahli keluarga. Suami mungkin menganggap isteri berubah laku bukan kerana penyakit "postnatal depression" tetapi semulajadi. Keadaan akan menjadi semakin teruk apabila suami tidak memahami keadaan tekanan emosi isteri
Keadaan wanita ini juga akan menunjukkan perubahan yang mendadak seperti kemurungan, runsing dan kelihatan tidak bermaya. Sikap juga berubah dari periang boleh bertukar menjadi pendiam. Kebanyakannya seakan hilang sentuhan dengan dunia alam realiti.
Sebenarnya terdapat banyak faktor psikologi yang boleh membawa kepada "postnatal depression" ini berlaku. Tidak dinafikan, kelahiran adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Tetapi tidak semuanya begitu. Berkemungkinan anak yang dilahirkan adalah anak yang tidak dikehendaki.
Tekanan ketika bersalin ditambah pula dengan rasa tertekan perasaan apabila mengenangkan anak yang dilahirkan. Apatah lagi wanita yang bersalin berkemungkinan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan ibunya sendiri atau mertuanya. Ini akan menambahkan rasa tekanan emosinya.
Kesakitan melahirkan anak diharap dapat difahami bersama oleh suami. Tetapi sebaliknya suami menganggap isteri telah biasa dengan kelahiran. Selepas kelahiran, ibu terpaksa berjaga malam menyusukan bayi dan menukar lampinnya yang basah. Ini membuatkan isteri tidak dapat menikmati masa rehat yang cukup. Baginya tiada kegembiraan dalam menimang cahaya mata sebaliknya merasakan ia sebagai kerja yang membosankan.
Tekanan emosi dan perasaan isteri akan lebih tertekan apabila suami tidak cuba memahami kepayahan dan kesakitan isteri. Setiap kali pulang kerja mengharapkan makanan terhidang, rumah bersepah isteri dimarah, sedangkan makan minum isteri ketika berpantang tidak pernah dihiraukan. Kerja-kerja rumah seperti mencuci pakaian harus dilakukan oleh suami jika tiada pembantu. Apabila keadaan tekanan ini tidak terbendung, rasa kecewa diluahkan dengan keadaan kemurungan dan menjadi pendiam. Yang lebih teruk sehingga menyebabkan isteri menjerit dan menangis seorang diri.
Tidak banyak kajian yang dilakukan ke atas punca-punca berlaku kesugulan di kalangan ibu selepas melahirkan anak. Walaupun ada kajian yang menyatakan perubahan hormon merupakan punca berlakunya "postnatal depression" namun ia hanyalah faktor kecil disamping beberapa faktor penyebab yang lain. Seseorang wanita yang sering berasa kecewa, sentiasa muram dan bimbang juga menjadi punca berlakunya "postnatal depression".
Begitu juga bagi wanita yang belum bersedia menimang cahaya mata tetapi terpaksa menghadapinya juga cenderung mengalami masalah tersebut. Waktu dalam pantang, ibu mudah rasa tertekan kerana kehadiran bayi memerlukan ibu berjaga malam. Ada kalanya keletihan menjadikan ibu mudah tertekan. Oleh itu amat penting bagi bakal ibu mendapat sokongan moral dan emosi yang kuat daripada seseorang khususnya orang terdekat seperti suami terutamanya pada saat-saat menimang cahaya mata dan selepas melahirkannya.
Ini adalah kerana sokongan dan bantuan suami merupakan penawar yang paling mujarab ke arah kestabilan emosi isteri. Kajian yang dilakukan di negara-negara barat mendapati bahawa kaunseling merupakan ubat paling berkesan bagi merawat ibu yang mengalami "postnatal depression". Di Britain contohnya kaunseling biasanya dilakukan oleh kaunselor atau individu yang memberikan perkhidmatan menolong datang ke rumah pesakit. Sekaligus suami turut memberi bantuan sebagai kaunselor yang memberi sokongan emosi untuk menenangkan perasaan dan emosi isteri.
Harus difahami bahawa, wanita yang mengalami "postnatal depression" biasanya disebabkan oleh rasa kecewa kerana menyedari keadaan selepas menjadi ibu tidak seperti yang diharapkan. Sebelum kelahiran bayi mereka membayangkan bahawa kehidupan selepas mempunyai anak tentunya lebih indah kerana dikelilingi oleh bayi yang comel dan sihat.
Malangnya apabila mereka mengalami sendiri dalam dunia realiti, keadaannya berbeza. Apa yang dibayangkan dalam fikiran mereka menjadi sebaliknya. Mereka tidak melaluinya dengan mudah. Ini merupakan satu kejutan yang mengganggu emosi dan fikiran wanita tersebut. Maka bagi mereka yang gagal mengawal emosi ketegangan ini mudah mengalami "postnatal depression".
Bagi bakal ibu, persediaan paling penting sebelum menimang cahaya mata adalah persediaan emosi dan mental yang kuat. Selain daripada pengetahuan mengenai perawatan bayi, bakal ibu juga perlu tahu mengenai kesihatan diri sebelum dan selepas bersalin disamping bersedia untuk menerima kemungkinan buruk selepas bersalin. Meletakkan harapan yang tinggi tanpa persediaan jiwa dan rohani yang mantap akan hanya membawa kekecewaan yang memungkinkan anda mengalami "postnatal depression".
Secara teoritikalnya kita rujuk kepada pendapat teori yang terdapat dalam Terapi Rasional Emotif yang dipelopori oleh Albert Ellis memberi andaian tentang sifat semulajadi manusia iaitu manusia dilahirkan dengan satu potensi untuk berfikir secara rasional dan tidak rasional. Di samping manusia berkecenderungan untuk memelihara dirinya, mencapai kebahagiaan, berfikir dan menyampaikan buah fikirannya, ingin dikasihi dan mengasihi serta berkomunikasi dengan orang lain untuk berkembang maju ke arah nirwana kendirinya sendiri.
Sebagai suatu kaedah yang dianggap berkesan dalam mengatasi masalah tekanan semasa dalam pantang selepas melahirkan anak ialah melalui metoda psikoterapi dan kaunseling. Wanita-wanita dan suami yang bakal menimang cahaya mata disarankan supaya:
6.i Mempunyai persediaan yang cukup dari segi mental, fizikal dan material dalam menghadapi sebelum dan selepas kelahiran cahaya mata.
6.ii Bertemu doktor dan pegawai perubatan untuk mendapatkan nasihat bagi membuat persediaan yang berpatutan untuk menghadapi saat-saat kelahiran.
6.iii Datang berjumpa kaunselor untuk mengadakan sesi kaunseling perkahwinan bagi membincangkan aspek-aspek persediaan emosi dan kedua-dua pasangan yang akan menimang cahaya mata.
6.iv Menimba ilmu kemahiran menghadapi sebelum dan selepas kelahiran anak. Ini supaya kedua-dua pasangan tidak merasa janggal apabila berlakunya situasi tersebut.
Secara kesimpulannya dapat dikatakan bahawa keseimbangan emosi dan mental wanita yang melahirkan anak samada sebelum dan selepas pantang amatlah perlu diberikan perhatian. Bukan wanita itu sahaja bahkan perlu juga sokongan kefahaman dan pertolongan di pihak suami dan keluarga. Wanita yang melahirkan anak amat sensitif dan mudah tersinggung kerana perhatian dan bantuan amat di perlukan ketika itu.
Seseorang wanita yang mengalami tekanan postnatal depression ini boleh dipulihkan melalui sesi kaunseling dengan ahli-ahli keluarga terdekat seperti suami, ibu, kakak atau adik beradik yang lain haruslah bekerjasama dalam mengembalikan keriangan di dalam jiwanya. Pujuk dan bimbing supaya dia mendekatkan diri kepada Allah agar tidak berputus asa walaupun diberikan dugaan sedemikian rupa.
Dari sudut terapi kerohaniannya seseorang wanita yang menghadapi tekanan adalah disarankan supaya menenangkan diri dengan menanamkan rasa sabar, yakin dan tawaakkal di atas taqdir-Nya di samping menerima realiti yang berlaku. Cara yang terbaik untuk mengurangkan tekanan perasaan ialah memohon kepada Allah SWT supaya menenangkan fikiran dan perasaan resah gelisah menerusi solat dan doa. InsyaAllah dengan kekuatan ini wanita tersebut akan dapat merasa lega dan selaras antara kognitif, afektif dan tingkahlakunya.
Masalah tekanan emosi dan mental seperti yang di alami oleh golongan wanita yang dikenali sebagai "postnatal depression" adalah merupakan suatu bentuk penyakit yang berlaku kepada wanita yang melahirkan anak. Jika tekanan ini dibiarkan berlarutan berkemungkinan ia akan menambahkan lagi kekusutan fikiran bahkan boleh menjadi tidak siuman.Oleh yang demikian, tekanan seperti ini boleh di atasi dengan menggunakan kaedah kaunseling dan terapi yang dilakukan oleh suami atau individu yang ada kaitan dengan wanita tersebut. Namun apa yang lebih perlu ialah perhatian, kasih sayang dan juga bantuan kepada wanita yang melahirkan cahaya mata tersebut secara berterusan sehingga mengalami tahap kesihatan seperti sedia kala.
Selepas habis tempoh berpantang...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan